Bihun Sup

Bihun Sup Ayam Utara

Hai semua! Hari ni Che Nom nak kongsikan resepi Bihun Sup Ayam cara Che Nom, ala-ala utara gitu. Sup ayam ni kita buat special sikit guna rempah ratus homemade, bukan yang sup bunjut tu tau, jadi rasa dia lagi umphh! Dihidangkan pulak dengan bihun kuning lembut, dua jenis sambal pedas iaitu sambal merah dan sambal hitam, serta bawang goreng rangup yang kita buat sendiri. Memang lengkap dan sedap sangat, hirup kuah panas-panas tu fuhh terangkat! Sesuai sangat nak hidang untuk keluarga atau buat jamuan, confirm licin!
Kongsi:
Che Nom

Dikongsi oleh

Che Nom

Diterbitkan pada 13 Mei 2025660 paparan

Masa Penyediaan

Masa Memasak

Jumlah Masa

Hidangan

Bahan-bahan

  • 1 pek / 400-500g bihun
  • 1 sudu besar serbuk kunyit
  • Air secukupnya (untuk merendam bihun hingga tenggelam)

  • 1 ekor ayam (potong 16 atau saiz sesuai), asingkan 2 ketul bahagian dada
  • 1 senduk minyak masak
  • Rempah 4 sekawan (1 batang kayu manis, 8 kuntum cengkih, 2 kuntum bunga lawang, 6 biji buah pelaga)
  • 4 biji bawang merah kecil
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 1 batang serai (dititik)
  • Akar daun sup (dibersihkan dan diketuk sedikit)
  • Bahagian putih batang daun bawang (dibersihkan, belah dua)
  • 1 sudu besar serbuk lada sulah
  • 1/2 sudu besar biji lada hitam (ditumbuk kasar)
  • 1 sudu besar serbuk ketumbar
  • 1/2 sudu besar serbuk jintan manis
  • 1/2 sudu besar serbuk jintan putih
  • Anggaran 4 - 4.5 liter air
  • 1/2 sudu besar serbuk MSG (pilihan)
  • 1 kiub pati ayam
  • Garam secukup rasa
  • Daun sup (untuk taburan akhir dalam kuah)

  • 10 tangkai cili kering (direbus dan dibuang biji)
  • 1/2 biji bawang besar
  • 2 sudu besar serbuk cili
  • Sedikit air asam jawa
  • Garam secukup rasa
  • 1 sudu besar gula
  • 1/2 sudu besar serbuk perasa (seasoning)
  • 1/2 cawan minyak masak (untuk menumis)
  • Sedikit air (jika perlu)

  • 1/2 biji bawang besar (potong kasar)
  • 5 ulas bawang putih
  • 10-15 tangkai cili padi (patahkan sedikit)
  • 1 cawan kicap pekat manis
  • Minyak masak secukupnya (untuk menggoreng)

  • 10-15 ulas bawang merah rose
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 2 sudu besar tepung beras
  • Minyak masak secukupnya (untuk menggoreng)

  • Tauhu (digoreng)
  • Lobak masin
  • Daun Sup (dihiris halus)
  • Daun Bawang (dihiris halus)
  • Isi ayam dari dada ayam rebus
Cara Memasak

  1. 1
    Rendam bihun dalam air biasa (bukan air panas) sehingga bihun hampir tenggelam.
  2. 2
    Masukkan serbuk kunyit dan kacau rata.
  3. 3
    Biarkan terendam selama 30 minit atau sehingga bihun lembut.
  4. 4
    Panaskan air rendaman bihun (atau pindahkan bihun ke periuk berisi air) sehingga air cukup panas dan bihun masak lembut (tak perlu sampai mendidih).
  5. 5
    Toskan air panas dengan segera dan lalukan bihun di bawah air paip sejuk untuk menghentikan proses memasak dan mengelakkan bihun melekat.
  6. 6
    Toskan bihun betul-betul sehingga kering dan ketepikan.

  1. 1
    Tumbuk lumat bawang merah kecil, bawang putih, dan halia.
  2. 2
    Panaskan minyak masak dalam periuk besar.
  3. 3
    Tumis rempah 4 sekawan sehingga wangi.
  4. 4
    Masukkan bahan tumbuk dan serai titik. Tumis sehingga naik bau dan kekuningan.
  5. 5
    Masukkan potongan ayam (kecuali bahagian dada). Kacau sekejap.
  6. 6
    Masukkan serbuk ketumbar, jintan manis, dan jintan putih. Gaul rata hingga rempah menyaluti ayam.
  7. 7
    Tutup periuk dan biarkan ayam masak sebentar dengan api perlahan (lebih kurang 5 minit).
  8. 8
    Masukkan anggaran 2 liter air dahulu.
  9. 9
    Masukkan batang daun bawang, akar daun sup, serbuk lada sulah, dan lada hitam (yang ditumbuk kasar). Masukkan juga air bilasan lesung batu.
  10. 10
    Tutup periuk dan biarkan kuah mereneh perlahan.
  11. 11
    Apabila kuah mendidih, masukkan kiub pati ayam dan MSG (jika guna).
  12. 12
    Masukkan 2 ketul dada ayam yang diasingkan tadi.
  13. 13
    Tambah baki air (anggaran 2 - 2.5 liter lagi) sehingga mencapai jumlah lebih kurang 4.5 liter. Perasakan dengan garam secukupnya.
  14. 14
    Biarkan sup terus mereneh dengan api perlahan sehingga dada ayam masak sepenuhnya.
  15. 15
    Cedok dan buang keladak atau minyak berlebihan yang terapung jika ada.
  16. 16
    Apabila dada ayam sudah masak, angkat keluar dan ketepikan untuk disejukkan.
  17. 17
    Taburkan sedikit hirisan daun sup ke dalam kuah sup, kacau sebati dan tutup api.

  1. 1
    Kisar halus cili kering rebus bersama setengah biji bawang besar (tambah sedikit air jika perlu).
  2. 2
    Panaskan minyak masak dalam kuali.
  3. 3
    Tumis bahan kisar sehingga wangi.
  4. 4
    Masukkan serbuk cili dan masak sehingga sambal pecah minyak sepenuhnya.
  5. 5
    Masukkan sedikit air asam jawa.
  6. 6
    Perasakan dengan gula, garam, dan serbuk perasa. Kacau rata.
  7. 7
    Tambah sedikit air jika sambal terlalu kering.
  8. 8
    Masak lagi sehingga sambal pekat dan berkilat. Tutup api dan ketepikan.

  1. 1
    Panaskan sedikit minyak dalam kuali.
  2. 2
    Goreng bawang besar, bawang putih, dan cili padi sehingga layu sahaja.
  3. 3
    Angkat bahan goreng dan toskan minyak.
  4. 4
    Masukkan bahan goreng ke dalam pengisar bersama kicap pekat manis.
  5. 5
    Kisar sehingga halus dan sebati. Siap dan ketepikan.

  1. 1
    Pastikan bawang merah kering. Hiris bawang nipis-nipis.
  2. 2
    Gaulkan hirisan bawang bersama garam dan tepung beras sehingga rata.
  3. 3
    Panaskan minyak masak yang banyak dalam kuali.
  4. 4
    Goreng bawang dengan api sederhana sambil sentiasa dikacau sehingga bawang bertukar warna keemasan dan garing.
  5. 5
    Angkat bawang goreng dengan cepat apabila sudah garing (jangan sampai hangus) dan toskan minyaknya betul-betul.
  6. 6
    Sejukkan bawang goreng sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.

  1. 1
    Goreng tauhu sehingga garing keemasan di kedua-dua belah. Angkat, toskan minyak, dan potong dadu kecil.
  2. 2
    Cincang halus lobak masin. Rendam dalam air panas selama 2-3 minit, kemudian toskan airnya.
  3. 3
    Hiris halus daun sup dan daun bawang.
  4. 4
    Carik-carikkan isi dada ayam yang telah direbus tadi sehingga halus.

  1. 1
    Ambil mangkuk hidangan.
  2. 2
    Masukkan secukupnya bihun kuning yang telah ditoskan.
  3. 3
    Cedok kuah sup ayam panas-panas bersama ketulan ayam ke dalam mangkuk.
  4. 4
    Taburkan isi ayam carik, tauhu goreng dadu, dan sedikit lobak masin cincang.
  5. 5
    Taburkan hirisan daun sup dan daun bawang.
  6. 6
    Letakkan sambal merah dan sambal hitam mengikut citarasa pedas masing-masing.
  7. 7
    Akhir sekali, taburkan bawang goreng homemade dengan banyak di atasnya.
  8. 8
    Sedia untuk dihidangkan segera semasa masih panas.
Petua & Panduan
  • Guna air biasa (bukan air panas) untuk rendam bihun supaya tak lembik.
  • Tambahkan serbuk kunyit semasa merendam bihun untuk warna kuning cantik ala utara.
  • Ketuk akar daun sup dan serai sebelum dimasukkan ke dalam sup untuk aroma lebih kuat.
  • Tumis bahan kisar/tumbuk hingga betul-betul garing dan wangi untuk kuah sup yang lebih sedap.
  • Asingkan dada ayam untuk direbus kemudian supaya isinya tak terlalu keras dan kering.
  • Cedok buang minyak atau keladak yang terapung di permukaan sup untuk kuah yang lebih jernih.
  • Lalukan bihun yang dah masak di bawah air sejuk untuk hentikan proses memasak dan elak bihun melekat.
  • Gunakan bawang merah jenis 'rose' dan hiris nipis untuk hasil bawang goreng yang lebih rangup.
  • Gaul hirisan bawang dengan sedikit tepung beras sebelum digoreng agar lebih rangup tahan lama.
  • Rendam lobak masin seketika dalam air panas dan toskan untuk mengurangkan rasa masin berlebihan.
  • Che Nom galakkan buat bawang goreng sendiri, rasanya memang lagi sedap dan puas hati!

Kongsi Pengalaman Anda!

Pernah cuba teknik lain? Kongsikan di bawah!

Ada tips untuk memperbaiki resepi ini?

Komen

Anda perlu melanggan untuk bertanya soalan AI.

Langgan Sekarang

Soalan & Jawapan

Tiada soalan lagi.

Resipi Komuniti

Resipi istimewa yang dikongsi oleh komuniti kami

Lihat Semua

Kongsi Resipi Anda Sendiri!

Anda mempunyai resipi istimewa? Kongsi dengan komuniti kami dan dapatkan maklum balas daripada pencinta masakan lain!

Che Nom

Mengenai Penulis

Che Nom ialah seorang penggemar masakan tradisional Malaysia yang aktif berkongsi resipi ...

843 Resipi
Lihat profil Che_Nom

Kongsi Resepi Ini

Kongsi:

Resepi Berkaitan

Resepi Terbaru